Kata Anda

Monday, February 22, 2010

KALUT @ Metro Ahad, 21 Februari 2010




21 Februari 2010, Metro Ahad

Pamer kreativiti, idea segar
Oleh SHAMRAN SARAHANshamss@hmetro.com.my2010/02/21
IMPAK yang sederhana, tetapi bertenaga. Itulah kata ringkas dapat dirumuskan tatkala berpeluang menyaksikan filem Kalut yang dihasilkan sekumpulan penuntut tahun akhir Sarjana Muda di Fakulti Teknologi Kreatif Dan Artistik (FTKA), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Meskipun hanya sebuah filem ringkas dengan biaya penggambaran yang hanya bermodalkan RM13,000, penghasilan filem berunsur komedi ini tetap segar dengan pelbagai idea kreatif dan menarik daripada penuntut terbabit.

Tidak salah mengatakan, usaha FTKA mengadakan projek pembikinan filem bagi penuntut fakulti berkenaan sangat bermanfaat, bahkan landasan terbaik buat mereka untuk mengenali dunia perfileman.

Penuntut Sarjana Muda Seni Layar FTKA, Faliq Sharif, 24, yang juga pengarah filem ini berkata, pengalaman menghasilkan filem berkenaan sungguh berharga dan ia menjadi pemangkin buat dirinya mengejar cita-cita dalam industri perfileman kelak.

Faliq turut menyifatkan pengalaman pertama mengarah filem berkenaan banyak mengajarnya mengenai selok-belok pengarahan sebuah filem.

"Saya tidak menyangka terpilih mengarahkan projek filem ini, saya sangat teruja dan ia peluang baik untuk saya mengembangkan bakat serta kebolehan yang saya miliki.

"Walaupun terikat dengan masa terhad dan jadual ketat, segala suka duka ketika filem ini dihasilkan sungguh berbaloi dan bermakna buat saya," katanya.

Menurut Faliq, pembikinan filem berkenaan adalah satu daripada projek wajib bagi penuntut Sarjana Muda di Fakulti Teknologi Kreatif Dan Artistik (FTKA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diperkenalkan sejak Julai 2009.

Ia di bawah kendalian Dekan FTKA, Profesor Dr Hatta Azad Khan bagi subjek Honour Showcase (PPA 653) dan memperuntukkan lima jam kredit.

Kata Faliq, filem berkenaan adalah adaptasi daripada karya teater Run For Your Wife yang diarahkan penggiat teater terkenal, Ray Cooney dan diterjemahkan pensyarah FTKA, Mazli Abd Rahman.

"Sekalipun skrip sudah sedia ada, kami dibenarkan membuat ubah suai dan sedikit penambahan mengikut daya kreativiti kami ketika filem ini dihasilkan.

"Filem ini disiapkan selama 12 hari dalam tempoh hampir tiga bulan dengan durasi 78 minit. Kami mengadakan tayangan perdana pertama di Dewan Ilqam, Fakulti Pengajian Perniagaan UiTM, Oktober lalu dan Januari tahun ini," katanya.

Bagi Faliq, dia berbangga dapat menjayakan filem berkenaan bersama rakan pengajian yang terbabit dalam pembikinan filem itu.

"Saya mahu menjadikan pengalaman ini sebagai permulaan untuk mengembangkan karier (pengarahan) selepas habis belajar nanti," katanya.

Kira-kira 28 penuntut tahun akhir terbabit dalam projek ini. Kos perbelanjaan yang ditanggung untuk pembikinan filem terbabit sebanyak RM13,000 adalah pembiayaan FTKA.

Selain filem ini, sebahagian penuntut FTKA terbabit dengan pembikinan filem Along Dan Kak Long bagi tujuan sama.

Sinopsis Kalut
Bertemakan tontonan ringan dan santai, filem berunsur komedi ini berkisar mengenai pemandu teksi, Selamat yang berdepan konflik rumah tangga kerana beristeri dua.Isterinya, Bibi dan Mimi, masing-masing tidak tahu mereka dimadukan dan Selamat pula mencuba sedaya upaya untuk merahsiakannya daripada pengetahuan mereka.Pelbagai helah dilakukan Selamat bagi menutup rahsianya, namun akhirnya tembelang pecah hingga menimbulkan pergolakan sesama mereka.Kekalutan mula berlaku apabila Selamat menghilangkan diri dan tidak pulang ke rumah, menyebabkan Bibi dan Mimi terpaksa membuat laporan polis untuk mencari Selamat.Di sebalik kemelut yang berlaku, muncul pula watak 'Mimi 2' yang berperanan membantu Selamat menyelamatkan rumah tangganya daripada bercerai berai.

Info

PEMBIKINAN filem Kalut The Movie adalah satu daripada projek wajib bagi penuntut Sarjana Muda di Fakulti Teknologi Kreatif Dan Artistik (FTKA), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Ia di bawah kendalian Dekan FTKA, Profesor Dr Hatta Azad Khan bagi subjek Honour Showcase (PPA 653) yang bermula sejak Julai 2009 dan memperuntukkan lima jam kredit

Filem ini adalah adaptasi daripada karya teater, Run For Your Wife yang diarahkan penggiat teater terkenal, Ray Cooney dan diterjemahkan pensyarah FTKA, Mazli Abd Rahman

Kira-kira 28 penuntut tahun akhir terbabit dalam projek ini dan penggambaran bermula pada Ogos hingga Oktober 2009

Filem ini menelan belanja RM13,000 menerusi pembiayaan FTKA

Selain filem ini, sebahagian penuntut FTKA terbabit dengan pembikinan filem Along Dan Kak Long bagi tujuan sama
Apa Kata Mereka Di Sebalik Pembikinan Kalut
SHAMSUL FARIZ MOHD SHARIF, 24
Sebagai penerbit filem, Shamsul mengakui proses pembikinan filem berkenaan memberi cabaran hebat buat dirinya dan rakan yang terbabit dalam filem berkenaan.

Shamsul berkata, dengan jumlah wang perbelanjaan yang tidak seberapa dan masa terhad, tugas menyiapkan filem berkenaan memang payah dan rumit untuk mereka.

"Begitupun, kami tetap seronok kerana rata-rata daripada kami masih baru dan pertama kali terbabit secara langsung dalam pembikinan filem.

"Saya dan rakan percaya, memulakan sesuatu yang baru bukan mudah. Itu sudah menjadi asam garam, apatah lagi dalam usaha menyiapkan sebuah filem," katanya.

Menyentuh pendapat peribadi mengenai pembabitannya dalam projek filem ini, Shamsul menganggap ia sebagai landasan baik untuk mengembang pengetahuan dan pengalaman dalam industri perfileman.

"Walaupun hanya satu daripada projek untuk keperluan kursus dan pengajian, ia sebenarnya pendedahan baik buat saya. Sudah tentu peluang ini menyerlahkan lagi kebolehan saya dalam bidang perfileman.

"Apatah lagi ditugaskan sebagai penerbit dalam projek ini, ia memang menarik memandangkan saya daripada bidang pengajian penulisan artistik. Dalam dunia perfileman, saya perlu mempelbagaikan kebolehan saya, jadi ini pengalaman berharga kepada saya," katanya.

MUHAMAD AZHAR ZAINAL, 25
Pemuda berasal dari Ijok, Batang Berjuntai, ini bukan saja bangga dengan pembabitannya dalam projek filem ini, malah menganggap ia wadah berfaedah kepada penuntut FTKA untuk mendalami bidang yang mereka ceburi itu.

Menurut Azhar, penuntut wajar diberi pendedahan dan latihan praktikal sedemikian, bukan hanya disogok dengan teori dan sesi pembelajaran.

"Di FTKA, kami boleh dikatakan perintis bagi program pembikinan filem ini dan ia permulaan baik buat kami dan generasi berikutnya yang ingin mengabdikan diri dalam bidang ini selepas belajar nanti.

"Saya bagai tidak percaya kami dapat menghasilkan filem Kalut dengan jayanya. Ia pengalaman hebat dan sungguh menyeronokkan buat saya," katanya.

Azhar sebelum ini aktif dalam pengarahan dan lakonan teater sepanjang bergelar siswa dan pernah terbabit dengan pementasan teater hebat di Istana Budaya (IB) seperti Puteri Gunung Ledang, Ibu Zain dan Cuci The Musical.

"Saya sangat meminati bidang seni ini dan ingin menjadikannya sebagai karier hidup saya. Walaupun lebih aktif dalam persembahan teater, pembabitan dalam projek filem ini menjadi percubaan untuk saya melangkah lebih ke depan," katanya.

NUR AMEERA MOHD RAMLI, 24
Sekalipun pernah terbabit dalam lakonan drama di kaca televisyen, Ameera mengakui teruja dengan pembabitannya dalam projek filem ini, lagi pula berpeluang melakonkan watak utama.
Bagi Ameera, projek berkenaan sangat istimewa kerana hanya membabitkan penuntut yang sealiran serta rakan satu pengajian yang rapat dengannya.

"Saya dan rakan dapat mencurahkan segala kreativiti mengikut acuan kami. Itu satu proses pembelajaran yang baik untuk menilai kemampuan dan keupayaan kami.

"Ia menjadi pengalaman yang tidak mungkin dapat saya lupakan, tambahan pula ia diarahkan rakan rapat (Faliq). Lebih bermakna, filem ini berjaya dihasilkan dengan baik walaupun serba serbinya agak kekurangan," katanya.

Menyentuh pembabitan Ameera dalam dunia lakonan, gadis berasal dari Taiping, Perak ini memang berbakat. Dia pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Teater Kebangsaan 2008 dan Festival Teater Selangor 2007.

Dia juga pernah berlakon untuk drama, Kerana Dia yang ditayangkan di RTM pada 2005 dan Cewek Dari Jakarta yang ditayangkan di Astro pada 2007.

"Saya memang serius untuk mengembangkan karier sebagai pelakon. Walaupun sedar laluan yang bakal ditempuhi untuk bergelar pelakon bukan mudah, saya bersedia menghadapinya," katanya.